Jemari Seni

Poster Web JS 2 1

 
 
 
 
You are here:: Profil Tentang Jemari Seni
 
 

Inilah Jemari Seni...

Latar Belakang

JEMARI SENI PUBLISHING memulakan operasi penerbitan buku di Malaysia, apabila novel Percayalah.. karya sulung penulis baharu Ruby Hazri diterbitkan pada 6 Oktober 2006. Sebagai sebuah syarikat kecil yang ingin sama-sama mewarnai dunia penerbitan, novel Percayalah... ini memberi ruang kepada pembaca untuk ‘percaya’ kepada produk Jemari Seni Publishing. Kejayaan kecil ini telah melonjak semangat kedua-dua pengasas syarikat ini: yang sama-sama memiliki hobi membaca buku cerita. 

Idea untuk menubuhkan syarikat penerbitan ini bermula, apabila Noor Suraya merungut yang novel kanak-kanaknya, perlu ditambah halaman sebagai prasyarat untuk diterbitkan. Sekadar suka-suka, Noor Suraya berkata dia terasa ingin menerbitkan novel kanak-kanaknya sendiri. Sebagai sahabat yang menadah telinga, Mariah mengemukakan usul, jomlah kita terbitkan cerita tu sendiri!  Bertitik tolak dari situlah, sebuah impian akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah. 

Noor Suraya – Mariah mula mengatur strategi dalam diam-diam. Dalam sibuk-sibuk mengurus pekerjaan seharian, banyak yang mereka telah usahakan. Kedua sahabat ini mula mengumpul maklumat, mencari penulis dan mengumpul dana. Tidak sangka akhirnya, Jemari Seni Publishing berjaya didaftarkan pada Februari 2006. Namun begitu idea untuk menerbitkan cerita kanak-kanak disimpan dulu, kerana hati sudah tergoda untuk menerbitkan novel umum sahaja, sebagai produk permulaan syarikat ini. Alhamdulillah, ramai pula teman-teman yang sudi menghulurkan buah fikiran dan maklumat mengenai penerbitan serta mempromosi syarikat setahun jagung ini. 

Kenapa memilih nama Jemari Seni?

Mencari nama syarikat adalah suatu yang amat sukar. Memilih nama yang paling sesuai, sukarnya bagaikan memilih nama untuk anak sulung tujuh keturunan. Ya lah, kerana kita bagaikan ada sebegitu banyak senarai nama yang kita sukai. Namun kita tidak pasti keserasiannya. Begitulah yang terjadi. Syarikat ini harus mempunyai nama yang ada nilai komersial; senang diingati; terselit nilai-nilai seni selaras penampilan produknya; namanya mampu berdiri sendiri apabila dipasarkan; mestilah berbeza namanya dengan syarikat-syarikat penerbitan yang sedia ada dan yang paling penting namanya unik.  

Lalu? Kata ‘jemari’ disarankan oleh seorang sahabat yang lain. Nama yang tercetus dan diubahsuai dari novel kedua Noor Suraya, Tanah Andriyana. Sementara perkataan ‘seni’ sememangnya sedari awal telah menjadi pilihan kedua-dua sahabat ini. Justeru kedua-dua kata ini dicantumkan untuk menjadi satu konotasi yang begitu mendalam maksudnya. Selaras dengan namanya yang sebegitu, Jemari Seni cuba membentuk identitinya sebagai home made ‘books’.  Seperti seorang ibu yang mengasuh anak-anaknya dengan tangan dan kudratnya sendiri... itulah yang kita cuba aplikasikan di Jemari Seni dalam menangani karya-karya yang diamanahkan. 

Jemari Seni berhasrat menjadi wadah untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat dan seterusnya mencetuskan pemikiran yang positif kepada pembaca. Oleh itu sejak awal lagi, karya-karya dengan idea yang segar dan mempunyai nilai-nilai moral yang cemerlang... dan karya yang menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup menjadi keutamaan di Jemari Seni. Pemilihan karya disaring oleh sekumpulan panel penilai yang terpilih: mewakili kumpulan pembaca di alam sebenar. Penilaian ini dibuat dalam dua peringkat untuk memastikan sesebuah manuskrip sesuai dan selaras dengan konsep serta matlamat Jemari Seni iaitu menerbitkan novel bersahsiah, sesuai untuk bacaan anak remaja dan golongan dewasa.

Pada peringkat permulaan sehinggalah ke peringkat memasarkan novel, sesebuah manuskrip dikawal selia dengan teliti dan cermat. Konsep SENI yang disematkan pada nama syarikat ini dapat ditonjolkan dengan berkesan, melalui luahan rasa pada sampul kulitnya dan karya rasa pada cerita penulis.  

Di Jemari Seni penulis diberi peluang untuk sama-sama ‘melahirkan’ karyanya. Mereka dibenarkan menyediakan blurb dan caption, yang kemudiannya perenggan ini akan diperhalusi di bahagian editorial. Jemari Seni mengalu-alukan judul novel yang menarik dan kreatif, sebagai tiket untuk kelainannya.

Penyuntingan, letak atur (tipografi) dan membaca pruf dibuat secara in-house untuk menjaga kualiti dan ketelusan manuskrip. Kami di Jemari Seni menjaga karya penulis bagaikan menjaga 'anak sendiri'. Kami berusaha untuk mengujudkan hubungan yang rapat antara penulis-penerbit. Di Jemari Seni, kami berhasrat untuk melahirkan rasa kekeluargaan antara penulis dan penerbit dengan sempurna. Dan rasa kekeluargaan ini diperpanjang lagi kepada pembaca yang sentiasa menjadi keutamaan kami. Jemari Seni ingin berada dekat di hati dengan pembacanya.    

Bermula dengan Percayalah... dan Relevankah Aku di Hatimu? pada tahun 2006, kemudiannya diikuti dengan 5 Tahun 5 Bulan, Surat Ungu untuk Nuha, Gurindam Jiwa dan Labyrinth pada tahun 2007, Jemari Seni Publishing telah menamatkan sasaran 6 buah novel untuk tahun pertama dengan jayanya, alhamdulillah.

Selaras dengan kemajuan syarikat, mulai Januari 2011, Jemari Seni Publishing sudah menjadi Jemari Seni Sdn. Bhd. Kini Jemari Seni menerbitkan tidak kurang daripada 22 buah novel umum setahun. Pada sesiapa yang ingin berkongsi kelainan, bacalah Jemari Seni. Penulis kami menulis dengan mata hati, semoga cerita mereka juga tersemat dari mata turun ke hati. Semoga mendapat manfaat dan berkat daripada-Nya. Terima kasih kerana menyokong Jemari Seni sejak dari awal. 

Tautan Jemari Sebarkan Seni

 
 
 
 

Mari Bersama Jemari Seni

Mari Bersama JS Adiwarna

Hubungi Kami

Address:

G & 1-25, Jalan Kajang Impian 1/11,
Taman Kajang Impian,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA.
[Peta lokasi]


Email: info@jemariseni.com
Telephone: +603-89260142
Fax: +603-89273967