Nazawati

Bebaskan jari-jemarimu untuk terus beralun melarik
di ruang-ruang seni ini...
warnailah setiap sudutnya dengan keindahan puitis rangkapnya...
merdekakanlah dunia itu dari ‘jajahan’ nya sendiri...
yakinku satu,kau mampu menggoyahkan segalanya
dalam merealisasikan impian menjadi nyata…
merubah revolusi dari kaca mata ‘pena’...


Sesuatu yang terkesan di hati, sampai sekarang saya masih lagi meyimpan kata-kata itu. Ia dari seseorang yang saya sangat hargai dalam hidup. Kata-kata pada 15 November apabila novel pertama saya diterbitkan. Katanya dia ingin melihat saya merubah revolusi dari kaca mata pena dari setiap sudut pada ruang-ruang seni ini. Bukan sukar ingin mengerti apa yang dimaksudkannya. Tapi terasa agak payah untuk merubah revolusi itu sendiri. Saya masih mencarinya sehingga kini. Pengisian itu yang paling utama. Itu katanya. Saya ambil dan letakkan dalam hati.

Untuk menterjemahkannya dari kaca mata ‘pena’, saya perlukan ‘sesuatu’ yang datangnya dari hati untuk permulaan itu. Insya-Allah. Tapi untuk mewarnai setiap sudut dengan keindahan puitis pada setiap ‘rangkapnya’, saya ingin katakan padanya apa yang datangnya dari hati, sepenuhnya saya tumpahkan melalui jari-jemari ini. Itu perkara pertama yang saya boleh beri. Pengisian untuk ‘memerdekakan’ dunia ini dari ‘jajahan’ saya sendiri, mungkin karya pertama di Jemari Seni ini adalah permulaannya.

Apabila menyingkap semula pembabitan saya dalam dunia penulisan, ianya sesuatu yang tak terduga sesungguhnya. Saya tak pernah terfikir ingin menjadi penulis novel. Bermula dari minat membaca apa sahaja bahan sedari kecil dan apabila masa terus berlalu tiba-tiba terasa ingin meluahkan rasa dalam bentuk novel. Perasaan itu terlalu ingin! Tapi bukan semudah yang disangka. Bertatih jatuh, tapi harus bangun semula dan inilah hasilnya. Untuk kepuasan diri sendiri seadanya. Dan saya mengharapkan ia sesuatu yang boleh diterima oleh anda semua.

http://lobakbiru.blogdrive.com

You are here: Panduan Penulis Penulis JS Nazawati