Misdhiaz

“Pertembungan antara rindu dan momen-momen indah itu pelengkap ingatan. Takkan pernah lari dari resmi kehidupan. Ingatan itu di minda, dan kawalan minda hanyalah naluri kita yang percaya tentang kebenaran perjalanan yang kita tentukan.”

Benar, rindu itu sedang berdesir tanpa henti. Pada yang kenalnya satu waktu dulu pasti ingat mukadimah di laman ‘desirrindu’ itu. Laman yang banyak melukiskan simbol perasaan tentang ingin hati untuk jadi penulis hingga ada pula yang berkata dia terlalu merumitkan keadaan yang sedia senang kerana asyik di blog dengan seni bahasa yang telah lama diciptakan.

Namun setiap sentuhan jiwa mahu terus dikongsi dengan pembaca-pembaca setia di samping muhasabah diri. Kerana baginya kita punya dua bahagian dalam diri apabila mula menulis. Satu bahagian positif dan satu lagi negatif. Istimewanya seorang yang diberi kelebihan menulis, punya dua jiwa dalam satu masa. Boleh memotivasikan diri sendiri dan pembaca dari penulisan.

Alhamdulillah, setelah 10 tahun berlalu sejak proses awal penulisan manuskrip, novel pertama yang membenihkan tunas idea akhirnya sudah redup rendang di hati pembaca. Cita-cita sejak meninggalkan zaman sastera di sekolah sudah jadi nyata! Bekerja di sektor perbankan bukan alasan untuk dia hilang dari dunia seni yang diimpikan.

Pernah dikenali dengan nama pena DHIA di dunia maya. Daripada nama yang bermaksud ‘Sinaran’ itu dia meneruskan niat lama bersama semangat baharu daripada seorang sahabat maya yang telah pun pergi bertemu Ilahi. Mahu terus menulis dari hati seperti yang sahabatnya itu inginkan. Mahu memberi 'Sinaran DHIA' pada diri sendiri serta pencinta seni yang sudi berkongsi rasa di persada abstrak ini.

Dan oleh kerana penerimaan masing-masing pastinya berbeza, dia sudi menerima kritikan demi memperbaiki kesilapan. Katanya dia tabik pada pembaca yang mampu mengatasi bacaan yang tidak seronok untuk terus ke pengakhiran cerita. Tahniah! Kerana realiti hidup ini juga bukanlah hanya dibentangkan dengan kisah-kisah indah. Namun Allah juga telah mengingatkan, bahawa tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Insya-Allah...

Blog: http://desirrindu.blogspot.com

This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

 

 


You are here: Panduan Penulis Penulis JS Misdhiaz