|
Tinggalkan pesan untuk JS di sini |
|
|
|
Statistics |
 | Groups |
Online |
 | Tetamu |
1 |
 | Ahli |
2,399 |
| Statistik... |
| Ahli Baru |
einhanna |
| Hari ini |
7 |
| Minggu ini |
55 |
| Bulan ini |
197 |
| Tahun ini |
1,793 |
|
|
|
|
Penulis
|
Pingu Toha, lahirnya pada 7 Mac. Duduknya di Kutub Pingu. Dia suka menulis. Dia suka membaca. Dia suka mendengar cerita. Dia suka bercerita. Dia punya banyak cerita. Jadi dia menulis...
Untuk mencari Lana. Tapi dia bukan Uthman Huzir – tolong!
Sebab dia Pingu Toha. Mengapa Pingu? Kawan yang panggil dia begitu sebab cara dia berjalan. Entahlah.... Mengapa menulis? Sebab kalau bercerita secara lisan, dia gagap! Atau ceritanya jadi berbelit-belit. Selalu kawan akan kata, “Can you just get straight to the point?” Mungkin juga sebab cara dia bercerita – orang jadi tak faham. Macam Pingu! They understand him, but they don’t get him.
Jadi dia menulis. Dan kalau menulis, dia mesti pakai laptop. Kalau dia menulis tangan, sudahnya dia melukis. Sambil itu, dia akan menyanyi. Menulis pun lambat-lambat. Dan dia akan berdrama dengan apa saja yang ditulisnya. Multitasker, kononnya!
Jadi kalau menulis, dia mahu menulis saja. Tapi kalau boleh, dia mahu buat semua. Dia pernah melukis sampai peringkat kebangsaan. Dia pernah jadi pelakon, main di pentas dan televisyen. Pernah juga jadi penyanyi, walaupun vokal latar saja ala-ala Dreamgirls!
Dan sekarang dia jadi penulis pula. L.U.V.E ialah novel pertamanya. Dan dia punya banyak cerita lagi. Dia juga ada menulis di http://pingupunyakhutub.blogspot.com.
Selepas ini, dia mahu jadi pelakon semula. Talk about being over ambitious!
|
|
|
|
 |
|
|
DULU dia pernah bercita-cita hendak menjadi juruterbang. Tetapi sayangnya tidak kesampaian, kerana tingginya tidak mencukupi. Hanya tiga sentimeter sahaja lagi daripada syarat yang ditetapkan!
Dengan penuh rasa kecewa, Aidil Khalid pun masuk ke UIA dalam jurusan kejuruteraan. Tapi tak sampai sebulan, dia mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke UK dalam jurusan undang-undang pula.
‘UK? Wah, dapat keluar negara!’ Maka tanpa berfikir panjang, dia langsung meninggalkan pengajian kejuruteraan lalu menerima tawaran tersebut – bukan kerana minat bidang perundangan, tapi kerana hendak melancong. Sebetulnya dia ketika itu belum ada arah tujuan yang jelas, apatah lagi masih kecewa dengan ketinggiannya yang tak cukup tiga sentimeter untuk menjadi juruterbang ke awan biru!
Kecewa datang lagi apabila dia tak lepas ke UK kerana keputusan A Levels gagal meyakinkan pihak yang mengeluarkan biasiswa. Kegagalan ini mempunyai implikasi yang sangat besar ke atas hidupnya. Dia menjadi sangat tertekan. Dia rasakan segala-galanya sudah gelap. Lalu dia menjadi seorang introvert.
Dan ketika penuh kekecewaan inilah dia mula menulis. Menulis, menulis, dan terus menulis… kemudian menulis lagi, lagi dan lagi, bagi melupakan kekecewaannya. Tapi pembaca tak perlu risau sebab novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu bukanlah sebuah memoir kecewa.
Kini, setelah rasa kecewa itu dia tinggalkan ke belakang, dia berpeluang menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang.Belilah novelnya dan kemudian promosikan kepada rakan-rakan untuk membelinya juga, sebab kalau tidak, Aidil akan kecewa lagi.
|
|
|
|
Jika ditanya bila dia mula menulis, dia akan sekadar menjongketkan bahu sambil tersenyum. Tanyalah beberapa kali pun, pasti itulah jawapan yang anda bakal terima. Yang pasti, pada mulanya, dia sekadar menulis untuk melepaskan tekanan - sebagaimana yang selalu dikhabarkan.
Bagi Syud atau nama sebenarnya Syuhada, menulis adalah satu cara untuk dirinya melepaskan tekanan. Minat untuk dirinya menulis timbul kerana sejak kecil lagi dia sudah disogokkan pelbagai jenis bahan bacaan, sekali gus minat membacanya itu telah membawa dirinya menghasilkan hasil tulisannya sendiri.
Tugas sebagai seorang penganalisis di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur seolah-olah terus membantunya yang sememangnya lebih gemar memerhati daripada bersuara. Bagi Syud dengan memerhati kita boleh 'nampak' seseorang itu dengan lebih teliti, sekali gus memahami apa yang sedang berlaku.
Kisah dan watak di dalam cerita yang ditulis kebanyakannya berkisar dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.
|
|
|
|
|
Nazurah Aishah, kelahiran Johor Bahru dan menetap di Pasir Gudang. Sangat cintakan kehijauan dan obsesi terhadap pokok-pokok terutama spesies nymphea dan nelumbo. Cinta pada flora menambah satu lagi cabang minatnya iaitu fotografi. Nazurah gemar memotret gambar bunga-bungaan terutama yang kembang mekar di halaman rumahnya dan diabadikan di sebuah blog khas.
Bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma antarabangsa dan sedang menuntut di Tahun 2 di sebuah universiti swasta dalam bidang Pengurusan.
Menulis merupakan minatnya sejak remaja, bermula dengan catatan harian di dalam diari, Nazurah cuba menulis karyanya sendiri. Apa yang ditulis merupakan luahan dari hati berdasarkan pengamatan, pengalaman yang dilalui serta kenangan-kenangan yang dipinjamkan dan dikongsi dengan teman-teman.
Kata Nazurah, dia tidak pernah menghabiskan apa yang dia tulis lalu, Nazurah mencabar dirinya dengan mula menulis di sebuah forum, Writer's Room pada penghujung tahun 2006. Sambutan hangat yang diterimanya mencetuskan semangat sehingga mampu menyiapkan dua e-novel pada tahun 2007.Satu cabaran sudah berjaya ditempuhi.
Ziarah Nazurah Aisyah di www.nazurah-nazurah.blogspot.com
|
|
|
|
 |
|
Sumpah! Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis atau menghasilkan novel bercetak untuk dijadikan bahan bacaan umum. Apatah lagi, saya lahir dari bidang yang amat jauh dari sastera – Ya, kejuruteraan! Dua spektrum yang berbeza. Tetapi segala-galanya berubah ketika saya kembali semula ke Malaysia pada sekitar tahun 2000 yang lalu. Mungkin ia adalah satu tanda takdir untuk saya beralih arah (walaupun masih lagi bekerja sebagai seorang jurutera sehingga kini!). Mungkin juga hanya satu kebetulan.
Kerana itu (sehingga kini), saya masih lagi menganggap diri saya hanya seorang penulis ‘cuba-cuba’ yang mahu menghasilkan cerita yang unik dan lain dari yang lain sebagai pengajaran untuk diri saya sendiri dan masyarakat umumnya. Cerita yang dapat membuatkan saya berfikir dan mengingati cerita itu walaupun sudah selesai membacanya dua atau tiga bulan kemudian.
Jika anda tanya, bagaimana cara saya menulis? Oh! Saya tidak tahu. Saya sekadar menulis dari hati. Tentang manusia dan kerenah mereka. Tentang Tuhan dan kejadian alam yang menakjubkan. Dan apa yang saya temui sepanjang berkelana mengembara mengelilingi dunia sebelum ini (dan Insya-Allah di masa hadapan). Segala-galanya bagai coretan kanvas indah dan muzik merdu sehingga membuatkan hati saya tergerak untuk menulis. Seolah-olah ada kuasa lain yang bekerja melalui saya.
Mungkin satu masa nanti, anugerah ini akan ditarik balik. Namun, sehingga satu masa itu datang, saya akan terus menulis dan menulis dan menulis lagi sehingga tidak ada yang tertinggal di dalam khazanah idea saya ini. Untuk itu, saya benar-benar bersyukur dengan seribu syukur pada Tuhan yang Esa!
John Norafizan (http://www.johnnorafizan.com)
|
|
|
|
MANJLARA atau nama sebenarnya Shuhaida bt Kamis dilahirkan di Parit Buntar, Perak. Telah berkeluarga dan dikurniakan tiga cahaya mata. Memulakan tugas sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya sebaik saja menamatkan pengajiannya dalam bidang kesetiausahaan di Bedford's Girls College pada tahun 1992. Mula menyuburkan minat menulis sejak bergelar suri rumah sepenuh masa pada tahun 2007.
Minat membaca novel tempatan sejak berusia dua belas tahun lagi. Novel pertama yang dibacanya ialah Tempat Jatuh Lagi Dikenang karya Adibah Amin. Persis Sebutir Pasir yang dulunya dikenali sebagai Mungkir Bahagia adalah karya pertamanya yang turut dikongsi untuk tatapan umum secara bersiri di weblog dan sebuah forum anjuran Yahoo (Relexjap). Mendapat ilham menulis melalui hasil pembacaan, pengalaman teman-teman dan lirik lagu.
Kata Manjlara lagi, menulis baginya adalah salah satu bentuk perkongsian, cabang komunikasi dan terapi minda yang sangat efektif dan mujarab. Pun begitu, beliau masih merasakan bahawa karya sulung beliau ini masih mentah dan masih belum layak untuk duduk sebaris dengan karya-karya penulis tempatan yang lain.
Kata-kata yang menjadi kuncinya selama ini... "Bacalah seribu buku, untuk menulis sebuah buku..."
|
|
|
SEWAKTU BERUMUR LIMA BELAS TAHUN, seorang guru pernah membuat ramalan. Dalam marah dia tuding jari; “kamu akan jadi wartawan.” Setahun kemudian seorang polis pula ‘menyumpah’ katanya, saya bakal seorang wartawan. Beberapa tahun kemudian ‘ramalan’ dan ‘sumpahan’ mereka menjadi kenyataan. Saya bertugas sebagai wartawan di syarikat persuratkhabaran berbahasa Inggeris di Jalan Bangsar.
Lebih satu dekad saya menulis tentang realiti manusia. Penuh dengan pelbagai ragam. Ada cerita gembira, tak kurang juga kisah sedih. Bertahun saya dihidangkan dengan kisah ketidakadilan sesama manusia sudah cukup membuatkan seseorang itu berhati ‘kering’. Setiap kejadian hanyalah kisah untuk memenuhi ruang kertas dan kuota harian. Sehinggalah satu hari saya bertanya dalam diri, “Mungkinkah masanya sudah tiba untuk saya sambung pengajian yang tertinggal?”
Menulis memang sudah menjadi kebiasaan saya, mengelamun pula kadang-kadang menjadi aktiviti mengisi masa lapang. Pertembungan dua tabiat ini saya manfaatkan sepenuhnya dalam pengajian saya di bidang Kewartawanan dan Penulisan Kreatif di sebuah universiti di Glasgow, Scotland. Akhir sekali saya mohon anda ‘ramalkan’ saya akan lulus dengan cemerlang dan ‘sumpahlah’ saya menjadi kaya supaya tidak perlu terlalu bersusah payah mencari wang biaya di sini. Ada tiga tahun lagi yang perlu saya tempuhi.
|
|
|
SIAPAKAH IMAEN?
Barangkali satu paradoks bertanya kepada seorang yang bersembunyi di sebalik pseudonim siapakah dia. Soalan itu akan jadi seperti bertanya kepada Zorro atau Spiderman siapakah sebenarnya dia. Namun kerana dia sudah memilih untuk menulis kepada umum sedikit sebanyak informasi tentang dia harus diketahui juga. Dia lulusan ijazah Ekonomi dan Pentadbiran dari Universiti Malaya. Dia juga lulus Diploma Pendidikan tetapi tidak bekerja sebagai pengajar. Pernah menjadi chef selama beberapa tahun. Kini dia menulis pula.
Katanya bagaimana mula menulis, “bermula dengan menulis sebentuk huruf menjadi sepatah perkataan bertukar menjadi sebaris ayat menjelma jadi seberkas kumpulan ayat. Kumpulan ayat tadi saya serahkan kepada Jemari Seni untuk dinilai dan mereka bersetuju menerbitkannya sebagai sebuah novel. Saya menulis bukan untuk mengubah seseorang apa lagi mahu merubah dunia. Sebab kalau manusia boleh mengubah manusia lain saya percaya Abu Talib akan meninggal sebagai seorang Islam. Saya menulis dengan harap Tuhan akan mengubah nasib saya, dan nasib kita semua, di akhirat kelak. Insya-Allah.”
Biarlah dulu dia bersembunyi dalam kepompong nama itu. Siapa tahu satu hari nanti setelah habis musim hibernatnya, dia bertukar menjadi seekor rama-rama yang cantik – atau tidak cantik – untuk berterbangan.
|
|
|
PELAJAR BIDANG KEJURUTERAAN ini mula berjinak-jinak menulis di alam siber pada Oktober 2003. Ketika itu penulisan novel bersiri dalam blog peribadi masih lagi baru. Rnysa (juga dikenali sebagai Anis) menjadikan blog sebagai tempatnya meluahkan perasaan. Dia juga mendapati banyak perkara baru yang dipelajari sepanjang proses tersebut sangat membantu dalam memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik.
Kisah “Relevankah Aku Di Hatimu?” atau singkatannya RADHA ini merupakan e-novel pertama yang disiarkan dalam laman blog peribadinya, http://rnysa.blogdrive.com. Tema persahabatan yang dipersembahkan dalam RADHA mungkin tidak banyak bezanya dengan novel yang sedia ada dalam pasaran. Namun sentuhan keagamaan yang cuba diketengahkan dan diselitkan di dalamnya sedikit sebanyak dapat memberi rasa yang berbeza kepada pembaca. Oleh kerana novel ini ditulis secara online, komen, kritikan dan idea daripada pembaca banyak membantu penulis dalam mencanai cerita supaya menjadi lebih matang dan mantap. Pada peringkat awalnya, cara penulisan Rnysa banyak dipengaruhi oleh novel Ahadiah Akasyah yang bersahaja. Akan tetapi, lama-kelamaan lenggok bahasa sudah semakin serius seiring perederan usia watak utama dalam RADHA.
RADHA yang bakal terbit dalam versi cetak ini masih mengekalkan judul asalnya kerana sudah hampir tiga tahun nama tersebut sebati di hati pembaca. Pada Rnysa, mengubah tajuk novel ini sama seperti mengubah keseluruhan cerita yang ada. Ini kerana novel ini berasal daripada cerpen bersiri yang bertajuk “Relevankah Aku?” yang ditulis sewaktu penulis berada di Tingkatan Lima. Namun begitu novel ini ditulis semula semasa Rnysa sedang menuntut di luar negara suatu ketika dahulu. Secara peribadinya, RADHA sangat dekat dengan diri Rnysa dan sungguh istimewa di hatinya kerana karya ini telah menemukannya dengan ramai peminat novel Melayu di luar sana termasuklah seorang penulis novel, Noor Suraya.
e-Karya yang telah siap:
Relevankah Aku Di Hatimu?
Relevankah Aku Di Hatimu 2
Piano Berlagu Lagi - cerpen
e-Karya yang masih dalam pembikinan:
Cinta Sofea
Dua Dunia
Cinta, Akhirnya Bahagia - cerpen
Anak kelahiran negeri Perak ini sedang menyambung pelajarannya di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Rnysa boleh dihubungi melalui emel:
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
CATATAN:
Rnysa... antara pelopor awal penulisan e-novel berbahasa Melayu di maya. Rnysa menulis secara berhemah. RADHA adalah suatu pengisian untuk mereka yang ingin menjadi 'dewasa' atau menyimpan novel ini sebagai sebuah kenangan yang terindah kerana anda pernah 'dewasa' bersama-samanya ~ Noor Suraya
|
|
|
RUBY HAZRI: ibu kepada tiga cahaya mata yang terasa agak terlewat meminati bidang penulisan ini. Minat membaca novel-novel hanya hadir ketika dua tahun Ruby Hazri berada di rantauan. Kesukaran mendapatkan novel-novel berbahasa Melayu dan Inggeris di sana, membawa Ruby Hazri melawati weblog-weblog e-novel berbahasa Melayu. E-novel pertama yang dibaca, Relevankah Aku Di Hatimu? dan Jangan Ada Dendam.
Sekembali ke Malaysia, barulah Ruby Hazri berpeluang menatap hasil karya penulis-penulis Malaysia yang lain dalam versi bercetak. Novel yang tentunya banyak melekat di jiwa Ruby Hazri adalah karya Noor Suraya (Nyanyian Tanjung Sepi) dan John Norhafizan (Sempadan Tanpa Seri).
Kedua-dua novel ini juga menjadi modul utama kepada Ruby Hazri menulis, merencana dan menyusun jalan cerita PERCAYALAH…
Pada Ruby Hazri, PERCAYALAH… hanyalah:
Sebuah coretan rasa penulis yang pada asalnya untuk dijadikan tatapan sebagai sebuah kenangan-kenangannya berada di luar negara. Pengalaman hidup pelajar-pelajar Malaysia semasa berada di negara Jerman dikumpulkan di dalam novel ini. Kesukaran dirasai tatkala menjalani hidup pada saat dunia mula membenci Islam dirakamkan dalam novel sulungnya ini. Bermula hanya dari sebuah catatan tanpa tajuk... akhirnya PERCAYALAH... dapat disiapkannya. Di dalam novel ini diselitkan dengan elemen-elemen kekeluargaan, persahabatan, kasih sayang dan cinta. Selepas beberapa kali terpaksa merombak dan menukar idea serta jalan cerita, akhirnya Ruby Hazri memberanikan diri menghantar karyanya untuk dinilai. Ruby Hazri juga mengambil masa untuk memilih tajuk yang sesuai dengan hati dan jiwanya. Akhirnya PERCAYALAH... menjadi keutamaannya, setelah tiga kali menukar judul novel pertamanya ini. Cerita ini sudah dimulai di weblognya sendiri... dan akan menemui pembaca dalam versi cetak bulan Oktober nanti.
Berkelulusan ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ruby Hazri mengambil keputusan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa sekembalinya dari luar negara. Ruby Hazri boleh dihubungi melalui alamat e-mel
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
.
CATATAN:
“Ketika Ruby Hazri membenarkan saya membaca manuskripnya ini, hati saya sudah terpaut kepada jalan ceritanya yang manis. Ruby Hazri mahir sekali menggambarkan sesuatu peristiwa dan latar dengan bersahaja, tetapi terperinci sehinggakan saya turut merasakan saya juga sedang bersama-samanya di Jerman. Pada saat itu, hati saya bergejolak... saya ingin sekali menerbitkan buku ini untuk dikongsi dengan pembaca yang celik sastera dan dahagakan sebuah karya bermutu. Hasrat saya tertunai dengan izin-Nya; rakan penerbit saya juga terpaut dengan PERCAYALAH.... saya harap anda juga begitu!” ~ Noor Suraya
|
|
|
HANYA INGIN DIKENALI dengan nama Hlovate. Cerita pertama yang ditulisnya ialah GreaTroublemaker_i, ketika menuntut di tingkatan 3. Menulis baginya adalah satu cara untuk berkongsi dan meluahkan rasa.
Antara kata-kata Hlovate:
"... menulis bukan sebab aku nak cipta dunia fantasi. Hanya contengkan apa yang nak dikongsi dengan orang lain tentang apa yang diketahui. Aku tak banyak ilmu. Aku cuma tau kisah hidup ~ aku, famili aku, kengkawan aku dan orang keliling aku. Dunia ni 'classroom' yang paling besar dengan Allah sebagai 'Teacher the Almighty'. Aku banyak belajar dengan tu. Aku tak pandai tulis bahasa bunga-bunga untuk harukan hati orang. Aku 'just' tulis apa yang aku rasa dan nak orang rasa. Tapi macam kata kawan aku, 'everything needs commercial value and attraction force'; maka aku pun 'draw' je cerita tu ikut 'taste' orang yang nak baca, tapi dengan 'core' yang aku ada sebagai 'basic color', nak 'share' dan bercerita rasa dengan orang bukan senang."
Katanya lagi:
"Aku tak pandai melukis, jadi aku tak boleh 'draw n paint' perasaan aku
Aku tak pandai menyanyi, aku tak boleh lagukan hati aku
Aku tak ada 'art n skill', maka aku tak boleh nak 'shout out' buat 'graffiti' kat mana-mana dinding... dan sebenarnya aku tak pandai pun menulis... aku tau 'throw out n spill' je..."
e-Karya Hlovate boleh ditemui di:
http://hlovate.blogdrive.com
http://hlovatehikayat.blogdrive.com
http://hlovatulis.blogdrive.com
http://hlovatalk.blogdrive.com
e-Karya yang telah siap:
GreaTroublemaker_i
GT_i'm a senior
GT_i[I'm outta teens]
Versus
Ked's Story
5 Tahun 5 Bulan
A Moment [Atuk] - cerpen
Schubert's Serenade
e-Karya yang masih dalam pembikinan:
Rooftop Rant
Anthem
Creep~Street Symphony
Buku, muzik, kata-kata, alam dan hujan adalah kegemaran Hlovate. Berasal dan menetap di Perak. Hlovate kini sedang menuntut di luar negara. Hlovate boleh dihubungi melalui e-mel
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
... less is more...
CATATAN
Hlovate: Penulis yang ada gaya yang tersendiri dalam mengungkap dan berkongsi rasanya dengan pembaca ~ Noor Suraya.
|
|
| |
|