Terima kasih dan Selamat Tinggal

Assalamualaikum,

Jemari Seni Sdn Bhd dan JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd akan menghentikan operasi bermula 22 Dis 2018. Terima kasih di atas sokongan anda selama ini. Kami mohon maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan. Sila ke Facebook Jemari Seni untuk sebarang pertanyaan atau berita terkini. Terima kasih.

Jemari Seni

Poster Web JS 2 1

Terima Kasih

Web Terima Kasih

 
 
 
 
 
 

Jemari Seni Sdn. Bhd.

cover-kebun_mimpi_web

November 2008 - Kebun Mimpi ~ Noor Suraya, Syud, Rnysa

Tiga penulis wanita Jemari Seni Publishing berbicara tentang cinta dalam sebuah Kebun Mimpi...

Ceritera I – Kebun Mimpi... oleh Noor Suraya

Masih ingat pada karya pertamanya, Keranamu Ain...? Inilah lanjutan kisah Ain Najwa selepas itu.
Sudah Ain tanam, sudah Ain semai... namun tidak satu pun yang bertunas itu rupa-rupanya kembang menjadi bunga! Bagaikan kebun mimpi... apa yang hadir dalam hidup Ain ini sekadar sebuah kenang-kenangan.

Ceritera II – Tas Merah Jambu oleh Syud

Gara-gara sekeping kad raya yang ada gambar seekor kucing putih gebu, hidup Nisa tak keruan dibuat dek Anna, Lin dan Nini. Sementara kawan-kawan si penerima kad misteri itu, sedang menyenaraikan suspek: siapakah peminat rahsia Adif? Aiman terus menyiasat, Adif pula jadi resah gelisah.

Jomlah sama-sama ikut SYUD membongkar misteri hati Nisa-Adif ini...!

Ceritera III – Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa

“Ya. Kalau sayapnya elok lagi, ‘dia’ boleh terbang...” balas Ehsan.
Izzah rasa dia yang perlukan sayap sekarang, mata Ehsan yang bening sedang mencuri pandang sejenak, menikam ke dalam tangkai jantungnya. Mata itu duta hati, dan jika mata dengan mata itu sudah bertemu, tentulah larutnya jiwa.

Encik Albatros, pinjamkan sebentar sayapmu itu! Aku mahu lari daripada terkena panahan cinta! bisik Izzah.

***

ISBN: 978-967-5118-10-4
Harga: RM21.50


cover-raudhah-hijau

September 2009 - Kemilau Mutiara Raudhah ~ Saidatul Saffaa

Baca bab pertama

biar setinggi mana langit digapai, sedalam mana bumi digali, takkan kau temui cinta hakiki, kerana cinta itu letaknya di hati seorang abdi

Kerana pasir, terbentuknya mutiara. Kerana tanah, lahirnya manusia.

Ini sebuah kisah kembara di atas bumi Tuhan. Kembara hati dalam jiwa hamba. Kembara daripada hina kepada mulia.
Ini kisah kembara hidup. Kembara dia mencari mutiara cinta di laut dalam, dan kembara mereka menemui cinta Dia di langit nan tinggi.

Kata Raudhah, dia punya sejarah jahiliah tersendiri.
Katanya pula, Raudhah ibarat bidadari yang turun dari langit untuk menyebarkan keindahannya.

Lalu kata mereka,
langit kawannya bumi
laut pasangannya pantai
siang temannya malam
petang sahabatnya pagi
isteri pula pendampingnya suami

Bukankah kita diciptakan berbeza untuk saling melengkapi, lantas nikmat Tuhan yang mana lagi mahu didustakan?

* * * *

Sebuah kisah cinta indah titipan daripada-Nya, tersusun tertib dalam Kemilau Mutiara Raudhah hasil kreatif seorang pelajar perubatan SAIDATUL SAFFAA.

ISBN: 978-967-5118-25-8
Harga: RM22.00 (Sem. M'sia), RM25.00 (Sabah/Sarawak)

bintangksyurga-web

Julai 2009 - Bintang-bintang ke Syurga ~ Xarine

Baca prolog

Urusan ini perutusan cinta.
Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang  kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Islam itu cinta.
Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan ‘cinta’ ke hadrat Tuhan mereka.

Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.

Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?

* * * *

Dengarkan bisikan cinta XARINE sang insinyur yang berbicara fasal cinta dalam lembutnya bahasa daripada hati seorang lelaki yang mengharapkan reda Ilahi.

ISBN: 978-967-5118-22-7
Harga: RM19.00


cover-damezsarah_web

Jun 2009 - Dame Zoete Sarah ~ Khairyn Othman

Baca bab pertama


dame zoete Sarah ialah si manis Sarah

Sarah Adam, anak yatim lagi sebatang kara; wartawan yang dedikasi; sahabat yang budiman... walaupun Sarah Adam ada seribu peran, yang pasti dia cumalah seorang gadis yang ada hati dan perasaan.

Terperangkap di tengah-tengah kemelut sindiket dadah antarabangsa, Sarah Adam dituduh terlibat sebagai pengedar, juga didakwa menjadi pembunuh sehingga membuat gadis yang manis pabila tersenyum ini, menjadi pelarian serta terpaksa menyamar untuk melintas laut ke negeri kincir angin.

Keadaannya bertambah sulit apabila dia bukan sahaja diburu oleh pasukan keselamatan negara, kumpulan penjahat malah dia diburu oleh jiwanya sendiri! Keadaan menjadi semakin rumit, apabila setiap orang yang dia kenal dan dia jumpa, mati dibunuh. Kenapa?

Jomlah bantu Sarah Adam untuk membersihkan namanya, jomlah bantu Sarah Adam meloloskan diri daripada ‘Encik Selamat’, Interpol yang kerek!

“Sarah, ke mana pun kau pergi, aku akan cari kau. Ke mana pun kau lari, aku akan kejar. Jangan lupa tu.” ~ Salim

* * * *

Genre yang berbeza daripada KHAIRYN OTHMAN kali ini, pasti membuat anda terhibur sekali gus berdebar bagaikan menaiki roda Ferris, melantun di awang-awangan – pucat tanpa boleh berkata-kata.

ISBN: 978-967-5118-18-0

Harga: RM18.00
teluki-web

Mei 2009 - Teluki Itu untuk Aku ~ Nazawati

perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti

Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?

Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi?
Percik air lembutlah ia...!
Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga?
Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!
Benarkah begitu...?

Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!
Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir,
kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!

Bahtera ini, arah kita tak serupa
padamu... aku dendam yang tak terungkai,
padaku... kau sahabat yang melukakan

Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini,
kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?

***
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!

ISBN: 978-967-5118-16-6
Harga: RM19.00

Page 38 of 40