Newsletter Item
Edition 2010-03-18 18:25:33
Countdown PBAKL 2010 - 4

Countdown 2, 1...
ke Pesta Buku Antarabansa KL 19-28 Mac 2010

Salam kenal buat pembaca Jemari Seni.

Saya Metafora.

Kak Nila dalam keadaan selamat, saya bukannya merampas ‘takhta’ apalagi kuasa Kak Nila, tulisan saya ini... dengan izin editorial, dan permintaan Kak Nila, kerana ingin Buletin Jemari Seni ada pelbagai ‘warna’.

Pertama kali bertemu, saya ingin bercerita tentang sebuah novel terbaharu Jemari Seni bertajuk Bidadari Hujan. Novel yang sampulnya sudah satu metafora untuk isinya. Sampai di sini saya mahu anda berhenti membaca sekejap, tatap sampul novel itu terlebih dahulu. Perhatikan dan biarkan kehalusan hati mentafsir ceritanya.

Bagaimana, sudahkah anda dapat membaca ceritanya? Kalau belum, sila pejamkan mata. Biarkan dalam gelap terpejam itu anda melihat bagaimana titis-titis hujan deras yang menimpa sekaki payung terus bertukar menjadi kuntum-kuntum bunga. Apalagi yang sinonim dengan bunga kalau bukan sebuah cinta. Jadi apakah ini kisah seorang bidadari yang datang bersama hujan untuk menawarkan cinta? Aduh! Kalau begitu betapa syahdunya nanti membaca kisah ini.

Bidadari-web

ISBN: 978-967-5118-34-0
Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Dapatkan di Pesta Buku Antarabangsa KL 19-28 Mac 2010

Dengan harga hanya RM16

Kasihan itu salah satu cabang cinta!

I

Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.
Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
“Harap-harap esok pagi hujan lagi!” kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna.  Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.

II

Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
“Macam mana saya nak pulangkan?”
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
“Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya.”

Apa jawab hati aku pada saat ini?

* * *

Tulisan NOOR AZZAHRA buat yang mahu mentafsir cinta dari sudut yang lain. Benarkah lelaki tidak halus hatinya dalam menzahirkan cinta? Bolehkah cinta datang buat kali keduanya? Tanyalah kepada Bidadari Hujan, biarkan dia yang menjawab semua persoalan anda itu!

 

 

Bidadari Hujan... bercerita tentang cinta seorang lelaki, tapi ini bukan lelaki Melayu biasa yang kita kenal. Ini lelaki Melayu luar biasa, kerana ditulis oleh seorang penulis perempuan. Lelaki mengikut acuan hati seorang perempuan.

 

Rain dalam cerita ini kuat juga jiwanya, tidak seperti ‘hero’ yang saya pernah jumpa, tulisan penulis lelaki – yang setiap kali berdepan saja dengan masalah akan merintih dan menangis. Lagilah pond... ups! Dan saya tutup mulut saya. Hero Bidadari Hujan tidak begitu, dia macho dengan caranya. Hanya saya membuat kesimpulan dia bukan lelaki Melayu yang saya kenal. Mungkin sebenarnya, ini ialah ciri-ciri lelaki idaman menurut seorang perempuan?

 

Ini kena tanya Che’ Pah si eksekutif akaun JS yang telah meleleh ayark mata selepas khatam Bidadari Hujan semalam. Menurut Kak Nila dan Kak Ajah, jam 3:35 pagi, Che’ Pah siap SMS beri laporan hatinya pada kedua-dua orang kuat JS tu!  Lupa nak tambah satu lagi, Bidadari Hujan sebuah cerita happy ending, baik hero atau heroin tiada yang meninggal dunia!

 

Saya berani membuat pernyataan bahawa Bidadari Hujan ini novel ‘uniseks’. Novel ini bukan saja sesuai dibaca oleh kaum Hawa tapi juga sesuai dibaca oleh kaum Adam. Terutama pada kaum Adam yang baru berjinak-jinak dalam alam perkongsian perasaan dengan kaum Hawa, untuk mengetahui ciri-ciri bagaimanakah yang harus ada pada dirinya.

 

Sinopsis cerita? Kena baca sendirilah baru syok! Kalau dah tahu cerita mana ada lagi thrill membacanya. Hanya saya nak beritahu novel ini ditulis dalam bahasa yang santai dan sedikit selamba, tapi bukan slanga.

 

Okey, selamat membaca!

 

Sekian.

Saya yang bernama Inche Metafora

 

Ps: Temui Noor Azzahra di Pesta Buku pada Jumaat (19 Mac), Sabtu (20 & 27 Mac) dan Ahad (21 Mac).

Petikan Bidadari Hujan (halaman 12-20)

 

“HEI, BRAD! Aku belanja kau hari ni.”

Lelaki putih melepak itu terus mengiraikan tawa.

Apasal gelak?”

“Ada bau la!”

“Bad?”

“Something!”

“Ah…!”

Dia terus menyambung tawa. Aku toya saja. Brandon. Teman di tingkat tujuh. Nama dalam kad pengenalan - Koh Chee Keong. Mahu dipanggil Brandon konon tak nak bunyi macam Cina. Tapi mata sepet tu memang tak boleh nak sorok. Memang sah dari Beijing!

Sudah dua hari aku mengejar si apek ni tapi baru hari ini dapat tangkap dia. Bukan tak boleh nak call tapi hajat besar seperti ini lebih baik disampaikan secara bersemuka.

“Apa hal cari aku ni?”

Kutarik kerusi kayu di kafe lalu aku duduk menghadap dia. “Aku mimpi kau malam tadi.”

Fuh! Ngeri tu.” Brandon melangutkan mata. “Orait. Aku nak pau engkau cukup-cukup hari ni.”

Aku sengih saja. Nak pau aku ya? No prob. Aku pun nak pau juga ni.

So… orderlah. Lamb chop? Chicken chop?

“Ada tak yang lagi mahal?”

Spontan aku tertawa. Nak belanja pun sudah kira cukup baik. Demand pulak. Brandon tersengih. Matanya yang sepet tu sudah mula tenggelam.

“Dik, beef steak and fresh orange dua.”

Adik pelayan terus berlalu. Bibir Brandon masih belum cair senyum sumbingnya.

“Janganlah buat senyum macam tu.”

“Why?”

“Buruk!”

“Haha…! Tapi yang buruk ni jugaklah yang kau cari kan? So, Rain, what’s up? Aku tahu kau bukan sengaja nak jadi baik ni...”

“Nak belanja kawan makan perlu jadi baik ke?”

Brandon menyimpul senyum. “Sebab kawan yang baik tu belum pernah belanja aku makan sebelum ni.”

So, anggaplah ini sebagai satu permulaan!”

Brandon senyum lagi. Entah apa yang terlintas di hati apek ni sehingga senyumnya sukar pula menyingkir. Dalam kepala, otakku ligat memikir mukadimah kepada persoalan yang kubawa sejak dua hari ini.

“Qamalia!”

“What?” Aku sedikit terkejut apabila tiba-tiba nama itu muncul daripada mulut Brandon.

“Alah. Jangan nak menyelitlah dengan aku. Nama budak tu Qamalia.” Riak wajah Brandon nampak sangat yakin menuturkan nama itu. Kugaru-garu kepala yang langsung tidak terasa gatal. Aku belum pun hulur tepak sirih, dia dah jawab dulu. Direct to the point saja apek ni!

“Aku dah tahu nama dia.” Perlahan kugumam kata – sedikit malu kerana terka Brandon tepat.

“Ha… tengok… terrer tak aku serkap? Aku dah agak dah.”

“Salute you.” Memang deria bau Brandon hebat!

“Engkau orang keempat tanya pasal dia.”

Keningku terangkat mendengarnya. “Siapa yang lagi tiga?”

“Saiful, Zekeri and Ustaz.”

“Ustaz? Dia pun nak masuk jarum juga ke?”

“Ustaz pun manusia juga…”

Fuh! Nampaknya laluan agak sukar kerana saingan bukan calang-calang. Saiful – Pegawai Bahagian Operasi, sebaya aku, gaji lima ribu, naik Vios. Zekeri – Pegawai Perhubungan Awam – umur dua puluh tujuh, gaji empat ribu, pakai Satria Neo. Ustaz atau nama sebenar Mohamad Ali. Ex-student sekolah agama. Dipanggil ustaz bukanlah sebab dia tu alim sangat tapi dia selalu jadi tukang baca doa dalam apa saja majlis. Seorang eksekutif. Umur dua puluh sembilan. Gaji juga hampir sama dengan aku. Drive Honda City baharu.

“Tapi… sorry la, Rain. Dia dah kahwin!”

“Hah?” Mataku terbeliak.

“Anak dua.”

“Biar betul?”

“Betul la. Aku pun tengah frust ni!”

Mataku hampir juling tidak percaya. Betul ke apek ni cakap? Tapi Brandon terus mengangguk. Serius.

Iye ke ni, Brad?”

“Kenapa? Muka aku ada nampak macam temberang ke?”

Kulurut rambut ke bawah. Aduhai! Aku baru nak baling pancing, ikan dah terlepas. Bini orang rupanya. Ada anak dua? Macam tak percaya. Memang susah nak percaya. Dan aku belum mahu percaya! Tengok muka macam muda lagi.

“Bukan ke dia muda lagi?”

“Dia kahwin umur tujuh belas.”

Aku lebih ternganga mendengar jawapan Brandon. Kahwin masa umur tujuh belas? Apasal cepat sangat? Sempat ambil SPM ke tidak tu? Zaman ni ada lagi ke yang kahwin umur-umur macam tu?

“Aduhai…. Apasal la mak bapak dia kahwinkan anak muda-muda sangat?” Dan aku tersandar selepas itu. Terasa lemah seluruh badan.

“Dia orang dah tak sabar nak cucu agaknya.” Balas Brandon selamba.

Hatiku terus layu. Haru betul. Nasib baik juga tahu awal. Kalau tidak sia-sia saja aku terkenang-kenang.

Beef steak and fresh orange, bang.” Adik pelayan menyusun hidangan di atas meja.

Aku hanya mampu mengangguk lemah. Aroma beef steak yang terhidang sudah tidak memikat seleraku. Sudah terasa tak lalu nak makan. Kutarik fresh orange untuk membasahkan tekak. Brandon terus meratah beef steak dengan lahapnya. Tak pandang kiri kanan pun lagi. Memang tengah kebulur rupanya apek ni.

“Hei… apasal tak makan? Takkan hilang selera kut?” Brandon menolak pinggan beef steak supaya lebih dekat kepadaku.

Aisey, Rain. Bunga bukan sekuntum. Banyak lagi awek engkau boleh dapat.”

Kucapai garpu dan pisau yang dihulur Brandon. Kutunjam garpu pada daging yang bersalut black pepper sauce sambil sebelah tangan lagi menghiris beef steak yang terasa macam hati aku.

Hmm… sedaplah beef steak ni, Rain. Selalu kalau aku yang order taklah sesedap ni. Mungkin kau patut belanja aku selalu.”

Aku hanya mengerling malas. Lain kali jangan haraplah aku nak belanja hang lagi. Buang kredit! Kukunyah perlahan-lahan daging yang baru kusuap. Hmm… betul juga kata Brandon. Beef steak kali ini lain macam pulak sedapnya. Dagingnya cukup mersik dipanggang. Sos black pepper cukup garamnya. Selalunya sedikit tawar – kurang perisa.

Tanganku semakin laju menghiris daging. Nak sedih pun membazir air liur saja. Bukannya dia awek aku. Baru ingat nak jual minyak urat tapi dah terkerat. Tak apalah. Betul juga kata Brandon. Bunga bukan sekuntum. Tapi kat manalah aku nak cari bunga yang sebegitu lawa macam dia? Sudah banyak tahun juga aku bekerja di PD ini namun rasanya dialah bunga yang paling lawa aku pernah jumpa.

Ei… tapi budak tu memang cun gila la, Rain.” Tangan Brandon menghiris lagi daging yang sudah tinggal suku.

Drop it. Buang masa je cerita pasal bini orang.” Dah gerenti husband dia takkan lepaskan isteri yang sebegitu cantik. Sudah ada anak dua pun masih nampak macam anak dara. Hatiku tiba-tiba cemburu pula pada lelaki yang menjadi suaminya. Hebat sangatkah lelaki itu sehingga dapat memikat dia dalam usia sebegitu muda? Brandon tersengih memandangku dengan mulut yang tengah sibuk mengunyah.

“Umur dia baru dua puluh satu.”

Aku terus mengunyah fries yang sudah suam. Tak mahu ambil peduli. Tahu pun nak buat apa. Segera kuhabisi pula kacang panggang yang terhidang.

“Tapi kalau kau nak test market, boleh juga Rain. Cuba pikat bini orang pulak. Aku tolong, nak?”

“Kau gila ke. Nak kena belasah dengan laki dia nanti!”

“Alah… apalah sangat setakat lebam biji mata.” Kata Brandon sambil menyeringai. Aku menggeleng kepala beberapa kali. Kalau ramai lagi kawan jenis macam apek ni, memang huru-hara rumah tangga orang.

“Lebam biji mata okey lagi. Buatnya masuk kubur terus, tak sempat taubat nanti.”

Brandon melengking tawa. “Takut juga engkau ya.”

Aku hanya tersengih. Sungguh pun dia tu cun habis, tak ada lah sampai aku nak merampas hak orang. Kalau setakat tunang orang, mungkin aku boleh redah lagi. Tapi kalau dalam Islam, itu juga sudah dikira berdosa kerana mengganggu hak orang lain. Ah… lupakan saja. Ramai lagi perempuan dalam dunia ni!

Kutarik gelas fresh orange lalu kuhirup isinya sampai licin.

“Eh… dah habis ke?”

“Jomlah.” Kucapai telefon bimbit di atas meja.

Aisey… cepatnya. Aku tak habis nak borak lagi ni.”

“Dik, kira!” Tanganku melambai pelayan kafe.

“Rain….”

Kukeluarkan duit dari wallet.

“Duduklah kejap lagi.” Suara Brandon seakan merayu.

“Aku nak baliklah. Engkau dah kenyang kan?”

“Aku lapar lagi ni.”

“Oi! Tu perut ke tong sampah?” Dah habis sepinggan beef steak, licin dengan segala fries, kacang panggang dan coleslaw pun masih kebulur lagi? Parah betul apek ni.

“Dah. Jomlah.”

“Betul ke kau nak balik ni?”

“Habis?”

“Kau tak nak dengar cerita lagi?”

“Pasal apa?”

“Pasal budak tu la.”

“Buang masalah!”

Aku sudah bangun menolak kerusi apabila Brandon tiba-tiba kata…

“Dia tu single lagi.”

“Who?”

“Budak tu la.”

“Budak mana?”

“Qamalia.”

“Tadi kau kata…”

“Aku tipu je!

Mataku kembali bulat memandang Brandon. Single lagi? Dia bukan isteri orang?

“Biar betul?”

“Betullah. Kalau kau tak nak, aku rekomen je kat Ali nanti.”

Satu ugutan daripada Brandon membuatkan aku tak jadi balik. Sebenarnya aku mahu saja melompat tapi umurku bukan lima tahun untuk buat perangai macam tu!

Err… tadi kau kata lapar lagi kan? Dik, order lagi!” Segera kupanggil semula adik pelayan.

“Oi! Itu perut ke tong sampah?”

“Tapak pelupusan!”

Dan Brandon hanya tertawa melihat aku yang kembali menarik kerusi untuk duduk. Hampeh betul apek ni. Buat aku hilang selera saja tadi.

Anyway, cerita balik dari mula. Berapa umur dia tadi?”

Dan mataku memang bersinar terang selepas itu sebab Brandon janji nak tolong aku untuk dapatkan si cun melecun tu!


Dijanakan oleh Communicator 2.0.2
Akan Datang
Sept. 2010

COVER-Ssaya-web

Jodoh itu rahsia Allah...

Siri Adiwarna
Untuk PBAKL 2010

COVER-GengODAH-web

RM12.00

COVER-MGngNuang-web

RM12.00

COVER-MRimbaMeranti-web

RM12.00
Mari Bersama Kami
Hubungi Kami
Address:
No.22, Jalan 4/7N,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA

Email: info@jemariseni.com
Telephone: 019-2795046 / 019-2624380
Fax: +603-89273967

Developed by: MUS Unlimited.com